The Telekung Project: Telekung Lama Tukar Baru

>> 23 February 2014

Empat tahun lalu, Norazila Abdul Aziz, 34, secara senyap-senyap melakukan aktiviti mengutip kain telekung wakaf di surau-surau berdekatan kawasan kediamannya di Puchong, Selangor. Kadangkala dia ditemani anak sulungnya, Sofea Najihah yang baru berusia 7 tahun.

Pakaian solat untuk wanita itu bukan dikutip untuk kepentingan sendiri sebaliknya dicuci dan digantikan dengan telekung yang bersih. Dari surau pusat hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya hinggalah ke surau-surau di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang, kelibat wanita menjinjing beg berisi telekung mungkin biasa dilihat.

projek telekung
Setiap kiriman telekung yang diterima akan dipasang tag khas sebagai identiti projek telekung kendaliannya.

"Jika saya ambil lima helai telekung yang kotor dari surau, saya akan gantikan dengan lima helai telekung yang bersih. Telekung yang kotor saya akan bawa balik untuk dicuci tetapi telekung yang sama selalunya diletakkan di surau yang lain," ujar Norazila kepada kru Jurnal.

Pada awalnya, amal kebajikan itu cuba dirahsiakan untuk mengelakkan timbul perasaan riak dalam diri.

"Mula-mula saya ingin buat senyap-senyap sahaja. Tetapi selepas mendengar ceramah agama yang menggalakkan kita menunjukkan contoh amalan baik sebagai satu cara untuk berdakwah dan menggalakkan orang lain melakukan perbuatan yang sama, saya tidak mahu sembunyi-sembunyi lagi. Oleh sebab itulah saya wujudkan satu page di Facebook dengan nama The Telekung Project," ujarnya.

page facebook the telekung project
The Telekung Project menggunakan medium Facebook untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Tanpa disangka, ramai individu yang menyokong dan mahu terlibat dalam kerja sukarela tersebut. Jika dahulu Norazila menggunakan koleksi telekung sendiri untuk diwakafkan, namun kini keadaan telah berubah.

"Selepas page itu diwujudkan, ramai orang menghantar kain telekung kepada saya menerusi kiriman pos untuk diwakafkan. Sampaikan posmen pun kenal saya sebab suatu ketika dia perlu menghantar bungkusan kepada saya hampir setiap hari," kongsi anak kelahiran Puchong ini.

Bermula dengan lima helai telekung, sekarang The Telekung Project telah mewakafkan lebih 5,000 helai pakaian ibadah itu kepada surau-surau. Malah, katanya, tiga orang pengusaha kedai dobi di Puchong, Shah Alam dan Cheras menawarkan khidmat mencuci kesemua telekung yang dikutip secara percuma.

Di sebalik kerja amal Norazila, katanya, idea asal tercetus apabila anak perempuannya, Sofea Najihah mengadu mengenai telekung wakaf yang selalu berbau busuk.

"Dia beria-ia mengajak saya membasuh telekung-telekung tersebut. Sememangnya Islam juga menuntut kita menjaga kebersihan," ceritanya yang akan singgah dari surau ke surau seawal pukul 10 pagi.

Sungguhpun begitu, menurut Norazila, dia pernah ditangkap oleh pengawal keselamatan sewaktu ingin menukar telekung di sebuah surau di pusat beli-belah di Puchong kerana menyangka Norazila seorang pencuri.

"Rupa-rupanya mereka melihat gerak-geri saya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Mereka curiga kerana saya sentiasa membawa beg dan mengambil telekung di surau itu. Tetapi saya tidak kisah jika ditangkap sebab saya awal-awal lagi menyediakan laporan polis yang menyatakan tindakan saya ini adalah untuk menukar kain telekung di surau-surau," ceritanya yang meletakkan tag pengenalan khas pada telekung di bawah projek tersebut.

Apa yang penting, daripada hanya sebuah projek sukarela yang biasa-biasa, The Project Telekung kini didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Ogos 2012.

Lebih mengagumkan apabila Norazila yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor di sekolah menengah selama 12 tahun sanggup meninggalkan kerjaya itu untuk memberi fokus kepada aktiviti sukarela ini.

Biarpun masih baru sebagai NGO, Norazila sudah merancang untuk pergi lebih jauh dalam aktiviti sukarela di negara ini. "Kalau boleh, saya mahu masyarakat di luar sana dapat lakukan seperti apa yang saya buat ini," katanya yang kali terakhir berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Yarl, Kuala Lumpur.

Graduan Sarjana Kaunseling dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini memberitahu, badan NGO yang diterajuinya itu kini bukan sekadar berkisar mengenai telekung sahaja. "Kami juga mengadakan aktiviti khas untuk membantu anak-anak yatim dan juga mengadakan program yang mampu menyumbang kepada pembentukan akhlak dan jati diri masyarakat," katanya.

Setakat ini, The Telekung Project sudah memiliki lebih 120,000 pengikut di Facebook.

"Saya rindukan zaman kebajikan yang cuba ditonjolkan sewaktu hayat Rasulullah SAW. Apa yang penting, kita tidak perlu takut untuk memberi kerana Allah sudah janjikan rezeki masing-masing," tuturnya. - Kosmo! Online

projek telekung
Printscreen Telekung Project 23 Februari 2014.

Kagum dengan usaha yang dilakukan oleh kakak ini. Untuk terus ke page Facebook yang dimaksudkan, boleh klik SINI.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP