Erotomania - Perasaan Syok Sendiri Terlampau‏

>> 16 April 2014

Menjadi manusia yang disukai atau diminati adalah kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Bagaimanapun, ia bakal menjadi sesuatu yang teruk sekiranya diri anda diminati secara berlebihan. Anda mungkin berdepan musibah sekiranya setiap pergerakan diperhatikan dan gerak-geri anda diekori. Jika hal yang seumpama ini berlaku, anda mungkin sedang menjadi mangsa hendap (stalking) oleh mereka yang menghidap simptom erotomania.

Erotomania
Dalam kebanyakan kes, mangsa erotomania biasanya terdiri daripada golongan wanita, namun ada laporan mengatakan kaum Hawa juga boleh mengalami masalah ini.

Umumnya, dalam kebanyakan kes, wanita merupakan mangsa kepada penghidap simptom erotomania meskipun ada laporan yang menyatakan bahawa wanita juga mengalami masalah kecelaruan ini. Di kebanyakan negara barat, intaian keterlaluan seperti ini dianggap sebagai satu jenayah dan menyalahi undang-undang.

Apakah yang dikatakan sebagai erotomania? Erotomania ialah satu simptom kecelaruan mental yang menjadikan seseorang itu percaya bahawa terdapat individu yang telah jatuh hati atau terpikat dengan mereka. Mereka percaya bahawa reaksi bahasa tubuh atau perlakuan individu tertentu itu (kebiasaannya berlainan jantina) adalah isyarat bahawa mereka sedang disayangi sedangkan hakikatnya, ia hanya ilusi.

Dalam kebanyakan kes, mangsa ialah orang asing yang mungkin tiada kaitan sedikit pun dengan pesakit. Mereka hanya sekadar terserempak atau berbual seketika sahaja. Tetapi, pertemuan singkat itu sudah cukup untuk menjadikan pesakit memendam perasaan yang mendalam.

Pesakit juga cenderung untuk menunjukkan sifat kasih sayang yang melampau terhadap kekasih impian mereka ini. Mereka akan mula memberikan hadiah yang istimewa, membuat panggilan telefon atau mengirimkan surat kepada 'kekasih' mereka tadi. Mereka juga sanggup menerobos privasi mangsa kerana baginya individu tadi adalah kekasih sejati mereka. Mereka tidak menghiraukan sama ada mangsa sudah mempunyai pasangan atau tidak.

Secara umumnya, proses menghendap ini dilakukan dengan menggunakan beberapa cara. Antaranya secara berterusan mencuba untuk menjalinkan hubungan mesra dengan mangsa tanpa mempedulikan mangsa menyukainya atau tidak. Walaupun mereka akan sedaya upaya memberikan kebaikan kepada mangsa, namun pesakit juga akan mengugut atau menimbulkan ketakutan kepada mangsa sekiranya hasrat mereka ditolak. Ia menjadi sesuatu yang teruk kerana kasih sayang mereka yang melampau ini menjadikan pesakit mengekori setiap pergerakan mangsa.

Dalam kes yang ekstrem, pesakit erotomania juga sanggup untuk mengupah orang ketiga bagi memerhatikan pergerakan mangsa. Mereka akan mengekori mangsa di tempat kerja atau apabila pulang ke rumah. Mereka tahu apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan 'kekasih' mereka ini. Pesakit juga berkemungkinan sanggup melakukan tindakan yang lebih agresif terhadap mangsa atau pihak ketiga sekiranya hajat mereka dihalang.

Dalam satu kes yang dilaporkan di Oakland, Amerika Syarikat pada tahun 1990-an, seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditolak hasrat cintanya oleh seorang wanita. Lelaki tadi mula jatuh hati dengan wanita ini dengan cara yang cukup mudah. Ia hanya dimulai oleh perbualan singkat lelaki tadi dengan wanita tersebut dalam sebuah bar. Sebagai kononnya untuk menjaga keselamatan 'kekasihnya' itu, dua minggu kemudian, lelaki tadi telah membunuh pengurus di tempat kerja wanita tersebut. Semuanya berpunca daripada perasaan cemburu dan merasakan bahawa wanita tadi adalah di bawah jagaannya.

Justeru, kita semua khususnya wanita, perlu berhati-hati apabila diberikan hadiah istimewa atau dihubungi oleh seseorang yang tidak dikenali. Ada sesetengah pesakit ini mungkin tidak mendedahkan identiti mereka. Bagaimanapun, ia akan menyebabkan kehidupan mangsa akan terjejas dengan teruk sekiranya pesakit mula merasakan mangsa adalah kekasih hati mereka. Mereka seboleh-bolehnya akan cuba menarik perhatian mangsa untuk menyayangi mereka.

Bayangkan sekiranya hal seperti ini terjadi kepada golongan yang sudah berumah tangga. Ia akan menyebabkan pasangan mula merasa curiga kononnya isteri atau suami mereka mempunyai kekasih yang lain. Hakikatnya kekasih misteri ini hanyalah sekadar pesakit yang tidak mampu mengawal perasaan mereka. Sekiranya hal seumpama ini terjadi, wajar memaklumkan pasangan masing-masing agar ia tidak mencetuskan masalah lain pada masa hadapan.

Kita tidak tahu secara jelas sejauh manakah orang asing tadi menyintai kita. Mereka juga mungkin menghidap kecelaruan mental yang lain. Sekiranya anda merasakan diri anda sentiasa diekori, jangan anggap individu terlibat itu sekadar seorang yang sangat meminati diri anda. Ada baiknya, hal seumpama ini dilaporkan kepada pihak polis bagi menangani perkara tersebut.

Erotomania
Jangan mencatat semua aktiviti harian anda di laman sosial Facebook supaya anda dapat menghindarkan diri daripada diekori penghidap erotomania.

Sekiranya anda merupakan pengguna media sosial seperti Facebook atau medium yang lain, ada baiknya jangan mencatatkan semua aktiviti kehidupan anda. Tidak salah diminati. Bagaimanapun, ia akan menimbulkan bencana sekiranya anda sedang diekori penghidap erotomania. – Kosmo! Online

Bila hidup sunyi keseorangan (macam aku) tanpa sebarang hubungan asmara dengan insan lain dan tiba-tiba dapat satu layanan atau teguran istimewa yang tidak dijangka, tidak dinafikan perkara sebegini boleh berlaku. Bagi mereka yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk diminati dan disayangi (bukan aku), menjadi sombong mungkin lebih baik dalam situasi ini.

Senyum itu sedekah tetapi biarlah kena pada tempat dan situasi. Kadang-kadang satu senyuman pun boleh disalah anggap sebagai detik mula percintaan. Eloklah dipraktikkan semasa menjalankan tugas seharian khususnya bagi mereka yang berkhidmat di kaunter-kaunter berkaitan. Berpada-pada semasa stalk profile orang. Jangan semai dan suburkan benih erotomania dalam diri. Pesanan untuk diri sendiri dan rakan-rakan stalker yang lain.

#ForeverAlone

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP