Kisah Adik-beradik Pengasas Adidas & Puma

>> 01 Jun 2014

Adidas dan Puma merupakan dua jenama sukan terkemuka dunia yang menghasilkan pakaian dan kelengkapan untuk pelbagai jenis sukan. Kedua-dua jenama ini asalnya daripada satu perusahaan adik-beradik sebelum mereka berpecah dan menubuhkan label masing-masing.

Gebrüder Dassler Schuhfabrik
(Dassler Brothers Shoe Factory)

Christoph Von Wilhelm Dassler ialah seorang pekerja di sebuah kilang kasut, manakala isterinya, Pauline menjalankan perkhidmatan dobi di Herzogenaurach, Bavaria, Jerman. Anak lelaki mereka, Rudolf "Rudi" Dassler bekerja bersama ayahnya di kilang kasut selepas tamat sekolah. Sekembalinya daripada berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama, Rudi ditawarkan jawatan pengurusan di sebuah kilang porselin, dan kemudiannya di sebuah perniagaan borong kulit di Nuremberg, Jerman.

jenama sukan popular
Adolf (kiri) dan Rudolf (kanan) Dassler.
Seorang lagi anak lelaki mereka, Adolf "Adi" Dassler, adik kepada Rudi juga terlibat dalam Perang Dunia Pertama. Dia mula menghasilkan kasut sukan sendiri sekembalinya ke Herzogenaurach. Pada 1924, Rudi pulang ke kampung halaman untuk menyertai perusahaan adiknya dan kemudian tertubuhnya Gebrüder Dassler Schuhfabrik (Dassler Brothers Shoe Factory). Perusahaan adik-beradik ini pada mulanya diusahakan dari kedai dobi ibu mereka sahaja.

jenama sukan popular
Adolf "Adi" Dassler - pengasas Adidas
Semasa Sukan Olimpik 1936, Adi membawa kasut rekaannya untuk dipakaikan kepada pelari pecut Amerika Syarikat, Jesse Owens. Penajaan sedemikian merupakan yang pertama terhadap seorang atlet kulit hitam Amerika. Berikutan kejayaan Owens merangkul empat pingat emas, reputasi kasut Dassler naik mendadak. Permintaan terhadapa kasut buatan mereka meningkat dan hampir 200,000 pasang kasut terjual setiap tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Konflik Adik-beradik

Keretakan hubungan adik-beradik yang juga rakan perniagaan ini semakin terserlah pada era Perang Dunia Kedua.

Pada 1930-an, nama dan perjuangan Adolf Hitler semakin berkembang. Adi dan Rudi menyertai Parti Nazi, namun penglibatan Rudi dilihat lebih menonjol berbanding adiknya. Rudi ditahan oleh pihak tentera Amerika kerana disyaki menjadi ahli SS, organisasi separa tentera di bawah kepimpinan Adolf Hitler dan Parti Nazi manakala Adi masih bebas menghasilkan kasut untuk Wehrmacht (pasukan tentera) sebelum dia mengambil keputusan keluar daripada Parti Nazi. Rudi percaya penahanannya disebabkan seseorang membocorkan maklumat dan orang itu tidak lain selain adiknya, Adi.

jenama sukan popular
Adi Dassler di kilangnya suatu ketika dahulu.
Dikhabarkan juga, sebelum Rudi ditangkap, satu insiden tegang berlaku antara adik-beradik ini. Pada 1943, satu serangan bom pihak Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua menyebabkan mereka dan keluarga masing-masing lari berlindung daripada serangan tersebut. Ketika itu, Adi dan isterinya masuk ke sebuah kubu perlindungan, di mana Rudi dan keluarganya sudah pun berada di dalam kubu tersebut. "The dirty bastards are back again", kata Adi, merujuk kepada kapal terbang pihak Bersekutu tetapi Rudi percaya Adi menujukan kata-kata tersebut kepada dia dan keluarganya.

jenama sukan popular
Rudolf "Rudi" Dassler - pengasas Puma
Perusahaan adik-beradik ini berakhir pada 1947 disebabkan perselisihan faham antara mereka. Rudi kemudiannya menubuhkan satu jenama baru dengan nama "Ruda" – Rudolf Dassler, sebelum dijenamakan semula sebagai Puma. Adi pula menamakan semula perusahaannya sebelum ini kepada AdidasAdi Dassler dan syarikat tersebut secara rasminya didaftarkan pada 18 Ogos 1949.

Persaingan Awal Adidas Dan Puma

Kedua-dua jenama ini berpangkalan di Herzogenaurach, Jerman, hinggakan bandar ini diberi gelaran "the town of bent necks" - di mana orang tempatan sentiasa melihat kasut mana yang dipakai oleh orang luar yang datang ke sini. Malah, dua kelab bola sepak bandar tersebut turut menjadi seteru antara satu sama lain. ASV Herzogenaurach menyokong (ditaja) Adidas sementara 1. FC Herzogenaurach mengguna pakai but rekaan Rudi, Puma.

jenama sukan popular
KIRI: Logo asal trefoil Adidas yang digunakan sehingga 1997 kini hanya digunakan pada produk Adidas Originals.
KANAN: Logo Adidas yang digunakan kini.
Apabila penukang dipanggil ke rumah Rudi, mereka dengan sengaja akan memakai kasut Adidas. Rudi akan mengarahkan mereka ke tingkat bawah rumah untuk mengambil sepasang kasut Puma percuma. Taktik baik punya! 

Pada 1948, perlawanan pertama bola sepak selepas Perang Dunia Kedua, beberapa pemain kebangsaan Jerman Barat memakai but Puma termasuk penjaring perlawanan, Herbert Burdenski. Empat tahun kemudian, pada Sukan Olimpik 1952, pelari Josy Barthel memenangi pingat emas dalam acara 1500 m di Helsinki, Finland, pingat emas Olimpik pertama buat Puma.

Pada Sukan Olimpik 1960, Puma membayar pelari pecut Jerman, Armin Hary untuk memakai kasut Puma dalam acara akhir 100 m. Sebelum itu, dia memakai kasut Adidas dan meminta bayaran daripada Adidas tetapi Adi telah menolak permintaan tersebut. Hary kemudiannya memenangi pingat emas bersama Puma tetapi telah "menduakan" Puma, dengan melibatkan Adidas dalam majlis penyampaian pingat. Ia mengejutkan Adi dan sudah tentunya Rudi. Hary sebenarnya mengharapkan bayaran daripada kedua-dua pihak, malangnya dia telah diboikot oleh Adi yang marah akan tindakannya itu.

jenama sukan popular
Arca gangsa Adolf Dassler di Adi-Dassler-Stadium di Herzogenaurauch oleh artis Josef Tabachnyk.
Adolf Dassler mati pada 1978 ketika berusia 77 tahun, manakala abangnya Rudolf Dassler mati pada 1974 ketika berusia 76 tahun akibat kanser paru-paru. Mereka tidak pernah berdamai. Walaupun ditempatkan di perkuburan sama, mereka ditanam sejauh mungkin di antara satu sama lain.

#Fakta

Setengah pihak mendakwa, "Adidas" merupakan singkatan kepada "All Day I Dream About Soccer."

"A.D.I.D.A.S." adalah sebuah lagu yang ditulis dan dirakamkan oleh band rock Amerika, Korn untuk album studio kedua mereka, Life Is Peachy. Ia menjadi single kedua album pada Mac 1997. Tajuk lagu ini adalah singkatan kepada "All Day I Dream About Sex" dan tidak merujuk secara langsung kepada jenama sukan popular, Adidas, walaupun Korn sering tampil dengan memakai jenama sukan ini pada tahun-tahun awal kemunculan mereka.

Skinheads turut mengguna pakai perkataan "Adidas" dalam ideologi mereka. Ia membawa maksud "All Did I Do All Skinheads" selain turut mengenakan pakaian dan kasut jenama Adidas dalam penampilan mereka.

Pautan: Wikipedia (Adolf Dassler), Wikipedia (Adidas) dll.

Sorry to say, produk Adidas yang tulen secara peribadinya terlalu mahal. Isu ini bukan sahaja dirasai di sini, malah di negara lain pun sama. Bila dijual barang tiruan yang harganya jauh lebih murah, mulalah nak ambil tindakan macam-macam. Kurang-kuranglah sikit harga tu. Kami rakyat Malaysia bukan semuanya senang.

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP