Kesan Pengambilan Panadol Kepada Kesihatan - Mudarat Atau Selamat?

>> 29 Mei 2014

Benarkah pengambilan Panadol memberi kesan buruk kepada kesihatan kita? Nak tahu kesannya, jemput baca! Kalau dah pernah baca sebelum ini, jemput baca sekali lagi. Mungkin ada fakta sebenar yang belum pernah anda baca.

Panadol ActiFast & Panadol Soluble
Panadol ActiFast & Panadol Soluble
Suami saya bekerja sebagai jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pangkalan data untuk pesakitnya. Dia kenal rapat dengan seorang doktor. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. Sebaliknya, mereka akan mencari ubat herba Cina atau altenatif lain.

Ini kerana Panadol bertoksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidakseimbangan elektron/ion di dalam sel otak. Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau dua botol minuman isotonik. Campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan dua cawan air minuman.

Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan menyebabkan tekanan darah menurun dari kepala anda.

Panadol adalah sejenis "painkiller". Semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang "biasa" ini ke dalam mulut anda.

Blog Buruk
Salah satu komen dalam blog berkaitan "kisah panadol" ini.
"Kisah" yang sudah lama dan berkemungkinan akan terus dikongsikan di laman sosial atau blog-blog. Mengambil contoh print screen perkongsian Facebook di bawah, walaupun telah dikongsikan pada Oktober 2011, ianya masih menjadi tarikan kepada pengguna sehingga ke hari ini. Bilangan like, share dan komen sentiasa meningkat. Dah lama aku dok perati mende nih.

Blog Buruk
Facebook: Since 2011 till now!
Berdasarkan carian Google pula, kisah sama telah dikongsikan seawal tahun 2009 lagi. Mungkin tajuk yang digunakan berbeza, namun isinya masih kekal abadi hingga sekarang. Siapakah gerangan "saya" dalam kisah tersebut? Lu power beb!

Acetaminophen (Amerika Syarikat) atau paracetamol (United Kingdom), adalah analgesik and antipiretik dadah yang popular dan digunakan untuk melegakan sakit kepala, demam, sengal-sengal dan sakit ringan. Ia digunakan dalam kebanyakan ubat preskripsi analgesik selsema dan flu. Ia amat selamat dalam dos piawaian, tetapi kerana mudah didapati, dos berlebihan sama ada sengaja atau tidak sering berlaku.

Berbeza dengan dadah analgesik yang lain seperti aspirin dan ibuprofen, parasetamol atau asetaminofen tiada sifat anti-keradangan. Jadi parasetamol tidak tergolong dalam dadah jenis NSAID. Dalam dos normal, asetaminofen tidak menyakitkan permukaan dalam perut atau mengganggu gumpalan darah, ginjal atau duktus arteriosus fetus. - Wikipedia

Nasib baik, aku jumpa blog Nota Kesihatan. Difahamkan, rakan kepada penulis blog tersebut  telah mengambil inisiatif untuk menghantar email kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan penyebaran maklumat ini pada 29 April 2013 yang lalu.

Berikut, maklum balas yang diterima daripada pihak berkenaan:   

Blog Buruk
www.pharmacy.gov.my
Perkara: Pengambilan Ubat Paracetamol

Merujuk perkara di atas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin berterima kasih di atas pertanyaan yang diajukan. Pihak kami amat menghargai usaha sebegini demi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat Malaysia khususnya.

Untuk makluman pihak cik, ubat paracetamol (yang dipasarkan dalam pelbagai nama jenama seperti Panadol, Uphamol, Fepril dan lain-lain) adalah dikategorikan sebagai ubat over-the-counter (OTC). Ini bermaksud, ubat am ini boleh diperoleh di farmasi atau kedai yang menjual tanpa perlu mendapatkan sebarang preskripsi daripada doktor.

Pengambilan ubat-ubatan am seperti paracetamol lazimnya digunakan bagi melegakan sakit ringan dan sederhana seperti sakit kepala, sakit pada otot atau sendi. Walaupun pengambilan ubat-ubatan am adalah bergantung pada budi bicara pengguna itu sendiri tanpa nasihat doktor, pengguna dinasihatkan agar mengambil ubat mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan seperti pada label ubat tersebut.

Untuk makluman, paracetamol mempunyai 'half-life' yang pendek, iaitu selama 1 - 4 jam sahaja. Ini bermakna, hampir kesemua paracetamol akan disingkirkan daripada badan dalam tempoh 24 jam. Walau bagaimanapun, pengguna juga disarankan agar tidak mengambil melebihi dos maksima yang ditetapkan, iaitu 4 gram (bersamaan 8 biji paracetamol 500 mg) dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya ubat-ubatan diambil melebihi daripada dos yang ditetapkan, pengguna boleh mendapat kesan sampingan atau kesan adverse akibat pengambilan dos yang berlebihan. Dalam kes paracetamol, pengguna yang mengambil dos yang sangat berlebihan boleh mendapat komplikasi seperti kerosakan hati atau buah pinggang kerana tubuh badan tidak mampu menyingkirkan paracetamol yang terlalu banyak dalam tempoh masa yang singkat. Namun begitu, mana-mana individu yang mengalami toksisiti paracetamol mungkin boleh dirawat dengan menggunakan sejenis antidot iaitu acetylcysteine sekiranya dibawa ke hospital secepat mungkin.

Ubat tahan sakit seperti paracetamol hanya diambil sekiranya perlu untuk menahan kesakitan secara sementara sahaja. Lazimnya, pesakit dinasihatkan agar mengambil dos yang paling rendah dan untuk tempoh yang paling singkat mengikut kesesuaian setiap individu. Sekiranya kesakitan berpanjangan atau tidak beransur pulih, pesakit dinasihatkan agar tidak mengambil ubat tahan sakit dalam dos yang berlebihan, sebaliknya berjumpalah doktor untuk mengenal pasti punca kesakitan itu berlaku.

Pengambilan ubat tahan sakit secara berlebihan dalam tempoh yang berpanjangan adalah tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan badan menjadi kebal terhadap ubat tahan sakit tersebut. Perkara yang dikenali sebagai 'pain tolerance' ini boleh menyebabkan tubuh badan memerlukan ubat tahan sakit yang lebih kuat atau dalam dos yang lebih tinggi bagi membantu individu tersebut menahan kesakitan.

Dalam mengendalikan kesakitan tubuh badan, sebarang rawatan alternatif adalah bergantung kepada pesakit itu sendiri. Kesakitan adalah perkara yang subjektif dan bergantung kepada persepsi individu itu sendiri. Walau bagaimanapun, teknik alternatif seperti berehat, bernafas dengan tenang, akupuntur, meditasi, serta berfikir secara positif boleh diamalkan untuk membantu dalam mengurangkan kesakitan pada tubuh badan.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, hubungi talian bebas tol Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1800-88-6722 (NPCC).

Diharap maklumat berkenaan dapat membantu.

Sekian, terima kasih.

Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Lot 36, Jalan Universiti,
46350 Petaling Jaya, Selangor.
Tel. : 03-78413200
Faks : 03-79682222

Diharap perkongsian ini membantu membetulkan mana-mana yang terserong. Aku pun pernah buat silap dalam berkongsi maklumat di alam maya. Sekurang-kurangnya aku cuba untuk memperbaiki kesilapan itu. Anda?

3 komen:

rocket 7:16 PG, Februari 16, 2015  

Pengambilan penawar semulajadi lebih berkesan dan lebih selamat. Tiada masalah over dose. Tiada kesan sampingan. Salah satu pilihan terbaik ialah transfer factor advance tri factor. Dalil khasiat nya ada dalam surah Al mukminun ayat 21

chedacheyu 9:25 PTG, Julai 08, 2015  

Terima kasih atas penjelasan ini

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP