'Gergasi' dan 'raksasa', dua perkataan yang banyak digunakan dalam gambar-gambar berikut. Sesuai dengan saiz binatang-binatang ini, di sini dikongsikan 20 binatang bersaiz luar biasa.
Kumbang Titan boleh membesar sehingga panjang 6.5 inci (16.7 cm), namun ia bukanlah spesies kumbang terpanjang kerana gelaran tersebut milik kumbang Hercules. Walaubagaimanapun, kumbang Titan mempunyai saiz badan yang lebih besar berbanding kumbang Hercules di samping si Hercules memiliki tanduk yang panjang, memberi kelebihan dari segi panjang keseluruhan.
Cengkerik gergasi ini dijumpai di sebuah pulau kecil di luar pantai New Zealand. Saiznya cukup besar dan dilihat sedang memakan lobak merah.
Labah-labah pemburu gergasi atau giant huntsman spider (heteropoda maxima, dari maximus, yang bermaksud "terbesar") dianggap sebagai labah-labah terbesar di dunia (termasuk saiz bukaan kaki). Banyak menghabiskan masanya di dalam gua dan spesies ini ditemui di Laos pada tahun 2001.
Siput babi ini dijumpai di bahagian Afrika Timur. Panjangnya boleh mencecah sehingga 8 inci.
Kelawar great flying fox boleh dijumpai di kawasan-kawasan tanah rendah New Guinea. Mampu mencecah berat 1.45 kg (3.2 paun), ia adalah antara kelawar terbesar di dunia. Nampak menakutkan tetapi ia sebenarnya "jinak" dan tidak segan silu bertenggek di depan orang ramai.
Kunjungan seekor tikus gergasi pada Januari 2012 ke kedai barangan sukan Foot Locker di New York, Amerika Syarikat tidak disambut baik oleh pekerja kedai. Ia telah dibunuh di tempat kejadian. Di Malaysia pun mungkin wujud tikus sebesar ini.
Tak percaya? Cuba tengok gambar ini. Penemuan tikus gergasi di Sungei Wang.
"Tikus paling besar dijumpai di Sungei Wang. Hurm, di KL ni memang normal semua kucing ikut perangai Doraemon, takutkan tikus. Apa taknya, saiz tikus pun sama besar dengan dia". - fb Oh! Media
Arnab dari baka Flemish Giant di samping seekor anjing dari baka Sheltie. Tidak pelik jika arnab ini seberat 10 kg, malah ada yang hampir mencecah 23 kg.
Giant George, nama seekor anjing dari baka Great Dane. Pernah dinobatkan dalam Rekod Dunia Guinness sebagai Anjing Paling Tinggi Di Dunia dari 22 Februari 2010 – 13 September 2012 dengan ketinggian 110 cm. Beratnya ialah 110 kg dan ia disahkan mati pada 17 Oktober 2013.
Boleh ditemui di Cameroon, katak Goliath ialah katak terbesar yang wujud di muka bumi. Mampu mencapai usia sehingga 15 tahun dan berat 3 kg, habitatnya yang semakin diteroka menyebabkan bilangannya semakin berkurangan.
Cane toad, bufo marinus ialah katak besar yang beracun. Katak yang asalnya terdapat di bahagian Amerika Selatan dan Amerika Tengah ini juga dikenali sebagai marine toad. Di Australia, kehadirannya dianggap mengganggu ekosistem hidupan liar semula jadi lain. Kulitnya yang beracun menyebabkan bilangan pemangsanya sedikit.
Salamander ialah sejenis binatang yang rupanya seakan-akan cicak tetapi lebih besar. Ia boleh hidup di darat dan juga di air. Kebanyakan amfibia ini berukuran di antara 10 - 20 cm (3.9 - 7.9 inci) panjang melainkan Chinese giant salamander yang mampu mencecah 1.8 m (5.9 kaki) panjang dan 65 kg (140 paun) berat. Apa beza antara salamander dan biawak? Biawak ialah sejenis reptilia.
Dipercayai sebagai buaya terbesar yang pernah ditangkap. Raksasa 21 kaki ini telah ditangkap hidup-hidup selepas pemburuan selama tiga minggu, namun ia tidak dibunuh. Jika di Malaysia, nama Bujang Senang begitu sinonim dengan buaya bersaiz gergasi. Menurut sumber, panjangnya 20 kaki. Lokasi gambar ini tidak dipastikan. Adakah ianya Bujang Senang?
Ikan pari air tawar raksasa ini boleh mencapai berat sehingga 1300 paun (590 kg) dan dianggap terancam di kebanyakan sungai di Asia.
Ikan keli gergasi Mekong pernah dicatatkan sehingga 10.5 kaki (3.2 m) panjang dan 660 lb (300 kg) berat. Ikan keli spesies ini tersenarai dalam Rekod Dunia Guinness sebagai Ikan Air Tawar Terbesar Di Dunia. Ia merupakan spesies yang paling terancam di Sungai Mekong.
Obor-obor Nomura adalah sejenis obor-obor bersaiz besar, namun ia bukanlah spesies obor-obor paling besar kerana ianya milik Lion's mane jellyfish. Ia mampu membesar sehingga 2 m diameter dan seberat sehingga 200 kg. Boleh dimakan tetapi tidak dianggap sebagai santapan berkualiti tinggi dan boleh dijumpai di perairan Jepun.
Penemuan tapak sulaiman gergasi ini oleh ahli-ahli sains di perairan Antartika pada tahun 2008 lalu.
Ketam labah-labah Jepun ialah spesies ketam laut yang hidup di perairan sekitar Jepun. Ia mempunyai jarak bukaan kaki terbesar, mencapai sehingga 3.8 m (12 kaki) dan berat sehingga 19 kg. Ia telah lama menjadi ruji para nelayan Jepun menyebabkan kepada beberapa langkah pemeliharaan.
Ketam kelapa atau coconut crab adalah sejenis ketam darat bersaiz besar yang berkemampuan memanjat pokok. Ia makan bangkai dan tumbuh-tumbuhan. Kuku penyepitnya begitu kuat hinggakan mampu untuk menebuk tempurung buah kelapa.
Diberi nama Trigger, lembu tenusu ini bernasib baik daripada ditembak oleh tuan sendiri pada hari ia dilahirkan disebabkan tuannya merasakan bilangan lembu jantan sudah mencukupi ketika itu. Dengan 6.5 kaki tinggi, 14 kaki panjang dan lebih daripada 1 tan berat, dianggarkan ia boleh menghasilkan 7665 burger Big Mac (ketika Trigger berusia lingkungan 7 tahun, 2010).
Babi hutan gergasi ini telah dibunuh oleh seorang budak lelaki berumur 11 tahun pada 2007 di Alabama, Amerika Syarikat. Menurut sumber, dia mengikut ayahnya pergi memburu bersama dua orang pengiring. Buruan ini seberat 1051 paun (477 kg). Ia lebih besar daripada "Hogzilla", juga seekor babi yang ditumpaskan pada 2004, seberat 800 paun (363 kg).
0 komen:
Catat Ulasan