Isu Bughah: Kerana Gelaran Atau Kejujuran Mufti?

>> 09 Januari 2014

BUGHAH - istilah yang digunakan oleh Mufti Perak sebagai alasan menghalalkan darah para peserta dalam Himpunan Turun yang diadakan pada malam menjelang tahun baru yang lepas. Di sini, satu artikel daripada Sinar Harian ingin dikongsikan bersama pembaca sekalian.

bughah
Saya menyeru diri saya, teman-teman dan semua untuk mohon ampun pada Ilahi di atas dosa dan silap yang lalu dan keampunan untuk yang mendatang. Bimbang jari yang laju menari untuk menaip sepotong komen sehingga berlebihan dari yang sepatutnya. Juga bimbang akan lisan yang pantas melontar kata yang tidak semena-mena. Jangan diserang peribadi, kelak memakan diri. Merenung firman Allah:

Maksudnya: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf: Ayat 18)

Saya tidak berhasrat untuk mengulas soal bagaimana menetapkan hukum bughah terhadap seseorang. Serahkan sahaja pada yang punya ilmu dan ada autoriti ilmunya. Tulisan ini sekadar sedikit teguran seimbas buat Mufti. Kenyataan Mufti tidak ubah seolah-olah jawab Saidina Ali terhadap golongan Khawarij sebagaimana berikut:

Maksudnya: "Kalimah yang benar, dikehendaki dengannya itu batil".

Menghukum bughah ini bukan lagi perkara baru di Malaysia, kerana pada 1985 tindakan kerajaan UMNO-BN menembak mati As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dalam Tragedi Memali. Ini berlaku atas dakwaan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya sebagai bughah. Dihalalkan darah mereka. Sungguh jahat dan khianat. Juga menghukum dengan hukuman seperti khawarij sebelum ini oleh seorang ulama' muda UMNO juga sangat keterlaluan.

Saya sejujurnya amat tidak bersetuju di atas kenyataan mufti yang menggelarkan demonstran sebagai bughah. Saya kira terlalu ramai tidak setuju. Tindakan itu menggambarkan sikap double standard seorang mufti dalam isu-isu yang berlaku. Jika benar Mufti jujur dan amanah, seharusnya fatwa atau kenyataan terhadap pembaziran kerajaan BN mesti dinyatakan sama.

Matlamat Himpunan Turun adalah kerana tekanan kos sara hidup yang tinggi bukan untuk menggulingkan kerajaan. Secara prinsip dan asasnya, hanya himpunan aman dan demonstrasi menuntut hak sebagai civil society. Secara perlembagaannya ia sah. Maka tindakan para demonstran tidak boleh dianggap bughah semberono begitu tanpa menilai realiti mereka. Tindakan demonstran sejajar dengan sepotong hadis:

Maksdudnya: "Sesungguhnya sebaik-baik jihad adalah menyatakan kalimah benar di hadapan pemerintah yang zalim".

Saya kira kenyataan demikian boleh mengundang sesuatu yang kurang senang terhadap rakyat. Menghukumkan demonstran sebagai bughah, ertinya telah menghalalkan darah mereka untuk ditumpahkan. Pandangan ini amat ekstrem dan boleh menimbulkan huru-hara jika pihak berkuasa bertindak demikian. Di sini, saya memohon huraikan penjelasan secara terperinci sebagai cara paling beretika. Kemudian buka kepada kritikan dan teguran andai ada ketidaksetujuan.

Saya mohon supaya Dato' Mufti dengan serta merta menarik semula kenyataan yang telah dibuat. Jika Dato' Mufti untuk kekal dengan pendirian tersebut maka ia dilihat seakan menodai kesucian sebuah agama, Islam yang membawa mesej kedamaian melalui konsep "Rahmatan lil 'Alamin". Contohilah sikap dan prinsip ulama' terdahulu seperti Imam Ahmad bin Hanbal saat berdepan kezaliman pemuka Muktazilah. Juga Imam Nawawi saat memberi fatwa kepada sang pemerintah Al-Maliku Az-Zahir.

Saya menyahut positif usaha proaktif PAS Negeri Perak yang telah mengambil tindakan drastik mengaturkan pertemuan dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Mungkin tidak bisa didengari di laman sosial, usaha membumi sebegini saya ucapkan tahniah. Moga ada hasil yang baik melalui tindakan bersemuka. Selesaikan secara dialog tika amarah rakyat belum reda.

Tuntas, saya berharap mana-mana individu mufti, ulama' dan lain-lain yang memikul amanah agama berwaspadalah kalian. Jangan mudah menutur kata dan menghukum. Adillah dalam menilai dan menghukum. Supaya golongan agamawan tidak dilihat sebagai terompah kayu dan boneka kerajaan yang zalim. Atau perumpamaan ulama' su'. Sebagaimana kata Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali:

Maksudnya: "Sesungguhnya hancur rakyat dengan kerosakan pemerintah. Rosak pemerintah dengan kerosakan ulama'. Maka apabila para qadhi dan ulama' jahat, akan sedikitlah pemerintah yang takut dengan kemungkaran mereka".

Akhirnya, ingatlah bahawa ulama' dalam Surah Faatir, ayat 28 diumpamakan seorang yang takut kepada Allah. Juga digambarkan sebagai anjing, berdasarkan ayat 176, Surah Al-A'raaf. Ulama' antara haq dan batil. Antara amanah dan khianat. Doa supaya Allah pelihara Malaysia dari bala dan musibah. Impian hendaknya keadilan tertegak dan kezaliman berkubur satu hari nanti. Pasti. Percayalah! InsyaAllah. Sekian.

Muhammad Ikram Ab Rahman
Pelajar Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

*******
SEPERTI YANG DINYATAKAN DI ATAS, istilah bughah sudah dibangkitkan di Malaysia dalam Tragedi Memali. Ianya pernah 'dibahaskan' dalam Dewan Rakyat seperti dalam video di bawah, daripada bekas presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.


Juga dinyatakan hajat PAS Perak untuk bertemu dengan si tuan badan Mufti Perak. Malangnya, kunjungan pemuda PAS untuk bertemu Mufti Perak tidak kesampaian dengan alasan Tan Sri Harussani tidak bersedia untuk bertemu. Kedatangan mereka hanya disambut oleh timbalannya. 

isu bughah

"Ajaibnya fatwa, berapa harganya?" Ayat tweet Dr. MAZA sentiasa terbaik dari ladang. Selalu terbaca printscreen tweet beliau di Facebook dan email. 

Dr. MAZA
Tweet Dr. MAZA berkaitan isu Bughah.

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP