Perlukah Bersunat Bagi Perempuan?

>> 13 Februari 2014

Saya berusia 28 tahun dan akan mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun ini. Saya bekerja sebagai jururawat.

Saya dapati alat sulit saya kelihatan berbeza daripada wanita lain apabila labia minora kelihatan sangat lebar. Saya bertanyakan kepada ibu sama ada saya disunatkan semasa dilahirkan, namun ibu saya tidak ingat, cuma katanya kemungkinan ada.

perempuan sunat
Gambar hiasan: Seorang wanita menenangkan anaknya dalam satu prosedur berkhatan khusus untuk wanita di Indonesia.
Apabila bertanyakan pada ayah pula, dia memberitahu perempuan tidak wajib bersunat jadi kemungkinan saya tidak disunatkan.

Saya jadi takut dan agak tertekan sekiranya bakal suami tidak dapat menerima keadaan saya ini. Saya pernah terdengar perbualan orang tua bahawa lelaki tidak sukakan perempuan yang tidak bersunat.

Ini menambah tekanan pada saya. Pada usia ini, bolehkah saya melakukan prosedur bersunat? Jika ada, di manakah tempatnya? Saya berasa cukup malu dan harap doktor dapat memberi pandangan.

JAWAPAN: Saiz labia minora ada sedikit berbeza antara wanita, malah saiz atau panjang labia minora kanan juga mungkin sedikit berbeza daripada labia minora kiri.

Bersunat bagi perempuan juga berbeza mengikut amalan masyarakat. Kini, amalan bersunat di Malaysia lebih kepada 'cukup syarat', contohnya dengan hanya menyentuh gunting atau pisau pada bahagian kemaluan bayi atau kanak-kanak perempuan, bukannya seperti dulu dengan memotong lebih banyak bahagian atas sudut pertemuan labia minora.

Apa yang lebih penting adalah menjaga kebersihan kemaluan, sama ada sudah bersunat ataupun belum. Kotoran atau daki lebih mudah berkumpul di celah atau bawah sudut terbabit pada wanita yang tidak bersunat, tetapi ini tidak bermakna wanita yang sudah bersunat bebas daripada kotoran berkenaan.

Sebagai jururawat yang ada mempelajari bahagian kemaluan wanita, anda pasti lebih berpengetahuan dalam menjaga kebersihan bahagian terbabit.

Labia minora memainkan peranan dalam membantu 'menutup' bahagian bukaan salur kencing dan bukaan faraj. Labia minora yang lebih lebar sepatutnya lebih melindungi bahagian ini daripada jangkitan kuman. - myMetro

Penerangan ini daripada Dr. Adilah Ahmat. Beliau merupakan Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan Dan Rawatan Kesuburan/IVF, Hospital Pantai Bangsar Dan Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sebelum terbaca artikel ini, aku ingatkan 'semua' perempuan Melayu bersunat. Apa yang pernah didengar dulu, orang perempuan dikhatankan ketika mereka masih kecil. Tak pernah terlintas untuk mengkaji. Nak tanya orang perempuan pun segan. Nanti dikata gila seks.

Video di bawah mungkin membantu dalam memberi pencerahan berkaitan amalam berkhatan bagi perempuan, disampaikan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.


"Tidak ada penegasan bagi anak-anak perempuan", itu antara apa yang diungkapkan beliau dalam video ini. 

Blog ini gemar merujuk kepada dua orang tokoh agama dalam satu-satu isu berkaitan. Selain Dr. MAZA, disertakan juga beberapa video pencerahan daripada Ustaz Azhar Idrus. Video UAI dalam bentuk "playlist" yang terdiri daripada dua video. Pilih salah satu, atau tengok dua-dua pun boleh.


"Anak perempuan wajib berkhatan" dan daripada apa yang disampaikan ia merujuk kepada pandangan daripada mazhab Syafii, bukannya daripada tiga mazhab lain.

Seperti apa yang disampaikan oleh Dr. MAZA dalam video pertama, ulama-ulama khilaf dalam soal ini. Nak masukkan sumber lain, nanti bertambah pening lak. Semoga bermanfaat untuk semua.

Terdapat satu lagi artikel berkaitan amalan berkhatan dalam kalangan wanita yang ingin dikongsikan. Ianya dijalankan di Indonesia. Gambar yang disertakan dalam entri ini pun diambil daripada artikel berikut. Boleh baca di KOSMO! Online - Khatan Wanita Masih Popular.

Hukum Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 - 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation). Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, Islam juga amat mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan pada diri. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.

Keterangan/Hujah: sambung baca di e-Fatwa

Kali terakhir dikemaskini: 7 Mei 2014

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP