Kisah Pesawat MAS Dirampas Dan Terhempas Di Johor 1977

>> 09 Mac 2014

Pada 4 Disember 1977, lebih kurang jam 8:15 malam, dilaporkan bahawa sebuah pesawat MAS (Malaysian Airlines) telah meletup dan terhempas semasa dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan Singapura. 20 minit sebelum kemalangan ngeri itu, juruterbang dikatakan telah memberi amaran kepada menara kawalan di lapangan terbang Subang (Kuala Lumpur) bahawa pesawat jenis Boeing 737 yang sedang dipandunya itu telah dirampas oleh kumpulan pengganas Japanese Red Army yang membawa bahan letupan.

pesawat MAS terhempas

Pesawat yang membawa seramai 100 orang penumpang itu juga terpaksa membatalkan pendaratan di Subang dan meneruskan penerbangan ke Singapura. Bangkai pesawat yang terhempas itu dijumpai di Tanjung Kupang, Johor. Laporan akhbar dua hari kemudian memberitahu bahawa perampas pesawat itu hanya terdiri daripada seorang sahaja, nama serta kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan.

Dalam satu laporan lain diberitahu bahawa kesemua 93 penumpang dan 7 kru penerbangan telah terkorban dalam tragedi udara yang dikatakan terburuk di Malaysia itu. Salah seorang mangsa yang terkorban ialah Menteri Pertanian, Dato' Seri Ali Haji Ahmad. Oleh kerana tiada saksi yang terselamat, maka kaitan kejadian itu dengan kumpulan Japanese Red Army tidak dapat dipastikan dan penyiasat hanya berharap kepada kotak hitam (perakam suara dan maklumat penerbangan) yang hanya dijumpai beberapa minggu kemudian.

pesawat MAS terhempas

Selain itu, timbul masalah untuk mengebumikan kesemua mangsa kerana identiti mereka yang sangat sukar untuk dikenal pasti akibat daripada kemalangan yang terlalu dahsyat di mana tiada satu pun mayat dalam keadaan sempurna. Beberapa orang ketua pelbagai agama telah berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa kesemua 100 mangsa (yang terdiri daripada pelbagai agama) akan dikebumikan secara serentak di sebuah tapak perkuburan khas yang terletak di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Pengebumian besar-besaran itu dilakukan 5 hari selepas kejadian.

Hasil siasatan ke atas kotak hitam pesawat terbabit telah didedahkan dalam satu laporan rasmi 9 bulan selepas kejadian. Laporan itu menyatakan bahawa juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas (tidak diketahui berapa orang) beberapa minit sebelum pesawat itu menjunam jatuh di negeri Johor. Rakaman suara itu memperdengarkan bunyi tembakan sebanyak 3 kali, dan juruterbang bernama G.K. Ganjoor sempat merayu "No, please don't" sebelum dia ditembak.

pesawat MAS terhempas

Data lain menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki di mana pesawat itu sedang dalam keadaan menurun untuk mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar, Singapura. Sebelum bunyi tembakan itu, terdapat juga suara seseorang yang tidak dikenali berkata "You bluff us". Terdengar juga percakapan dalam bahasa asing dalam rakaman itu tetapi laporan rasmi menyatakan bahawa kewarganegaraan perampas itu tidak dapat dikenal pasti.

Kotak hitam itu juga mendedahkan bahawa seseorang cuba memandu atau mengawal pesawat itu selepas juruterbang ditembak. Sebaik sahaja tembakan berlaku, pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke bumi pada kelajuan 450 knots. Laporan rasmi itu juga menyatakan bahawa tiada kejadian letupan yang berlaku ke atas pesawat terbabit.

#Kisah ini diambil daripada Arkib Negara X. Ia pada mulanya diperolehi melalui email dan telah tersimpan sekian lama di dalam inbox aku. Menarik lagi rare, sebab itu ia disimpan tetapi sampai ke sudah tidak dikongsi. Memandangkan situasi semasa sekarang, sesuai rasanya kisah ini dikongsikan dengan semua pembaca blog.

Tragedi pesawat MAS dirampas dan terhempas di Johor pada 1977 ini juga turut diselitkan dalam berita Astro Awani. Boleh dilihat, memorial khas yang dibina untuk memperingati mangsa-mangsa nahas berkenaan di dalam video di bawah.


Semoga segala urusan berkaitan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang berjalan dengan lancar. Takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat.

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP