Kenapa Manusia Mati Dengan Mata Terbeliak?

>> 24 Februari 2012

Pernahkan anda melihat orang nazak dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jika belum pernah, elok jika anda berusaha untuk melihatnya sebelum anda menemui ajal anda sendiri. Melihat orang mati dapat mententeramkan nafsu buas yang berkocak. Melihat orang mati juga membuatkan kita tersedar agar jangan lalai serta leka dengan kehidupan dunia.

Jika anda biasa melihat orang mati, anda tentu pernah melihat orang yang mati dengan keadaan matanya yang terbeliak. Tahukah anda kenapa? Berikut adalah jawapannya:

Hadith:

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas? Jawab mereka, Ya kami melihatnya, ya Rasulullah. Sabda baginda lagi: Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.

Huraian Hadith:

Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya sama ada mati dalam keadaan husnul khatimah atau su'ul khatimah, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah.

Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang maksudnya: Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalam neraka.

Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta sahaja. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga. (Bukhari).

Hadith ini memperingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun begitu dalam meniti saat-saat kematian, adakalanya Allah SWT menunjukkan kepada hambaNya tanda-tanda baik ("Husnul Khatimah") atau tanda-tanda buruk (su'ul khatimah) dalam mengakhiri ajal seseorang.

Sebab itulah kita diseru agar sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan yang menggoda tidak kira masa sama ada ketika masih hidup di dunia atau semasa menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini. - sumber

Sumber APAN: Blog Shubhi

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP