Kisah Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi

>> 16 February 2012

Sebagai renungan kepada yang masih hidup. Sebuah kisah benar yang diceritakan semula di dalam blog Anak Pendang Sekeluarga.

Pada 4 Mei 2010 (Selasa, pukul 10.00 pagi) saya dikejutkan dengan satu panggilan memberitahu anak saudara saya (anak abang) telah meninggal dunia kerana lemas ketika keluar berdakwah selama 40 hari mengikut jemaah tabligh ke pedalaman Sabah. Tempat sebenar kejadian di daerah Beluran, lebih kurang 2 1/2 jam perjalanan ke Bandar Sandakan.

Remaja ini bernama Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu.

Kami berusaha membawa balik mayat ke rumahnya di Sabak Bernam secepat mungkin. Namun kerana peraturan dan dokumentasi, jenazah hanya berjaya dibawa balik pada keesokan harinya. Tiba di Masjid Sri Petaling sebaik sahaja solat Asar berakhir.

Sebaik sahaja kain kapan dibuka, saya melihat wajahnya seperti sedang tidur tanpa menunjukkan kulit pucat dan kaku seperti kebiasaan mayat. Saya teringat beberapa hadis yang memberikan tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik (husnul khatimah).

Antaranya dahi berpeluh. Saya cuba mengusap dahi dan mukanya memang terasa berpeluh dan lembab. Darah juga masih mengalir segar. Ketika saya cuba menggantikan kapas di mulutnya kerana kapas tersebut telah penuh dengan darah, saya terkejut kerana darah segar merah masih keluar dari mulutnya dan mengenai kapas baru. Saya menyangkakan dia seperti masih hidup.

Selepas solat asar, ramai juga jemaah bertanya adakah benar dia sudah mati kerana nampak seperti sedang tidur. Ketika ibunya ingin menciumnya untuk kali terakhir, ibunya tertekan dadanya.

Sekali lagi darah merah cair keluar dari mulutnya. Mengikut kelaziman, selepas hampir 2 hari dan disimpan didalam peti ais jenazah ketika menunggu untuk dihantar pulang, sudah tentu mayat menjadi beku dan pucat. Darah pun sudah tentu telah menjadi beku dan mati.

Namun kebesaran Allah s.w.t dan janjinya memang benar. Ketika manusia berlumba-lumba mengejar keduniaan, masih kedapatan manusia yang terpilih untuk mati syahid.

Saya terpanggil menulis dan berkongsi cerita ini kerana dalam keadaan sosial para remaja yang semakin larut dengan budaya barat, marilah kita mengajak diri kita, anak-anak dan kaum keluarga untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengamalkan amal-amal Islami secara bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan TERPILIH dalam golongan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah s.w.t.

Menurut ayahnya, ayah angkatnya dan rakan-rakan universitinya, Huzaifah ini seorang remaja sangat berakhlak. Setiap masa terluang dihabiskan dengan berkunjung ke masjid dan surau bagi menunaikan ibadah dan kerja-kerja agama.

Malahan sebahagian wang pinjamannya PTPTN; selain dari untuk yuran pengajian, digunakan untuk dakwah dan kerja-kerja agama. Malahan beliau beberapa kali memberitahu kepada ayahnya yang setiap kali cuti semester panjang, beliau akan ke Sabah kerana disana terlalu ramai orang sudah tinggalkan Islam (Murtad) dan jika masih Islam pun tapi tiada amalan Islam. Masjid dan surau kosong tiada jemaah.

Selepas sembahyang Subuh pada hari sebelum beliau meninggal kerana lemas ketika mandi di sungai, beliau telah berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan usaha dakwah dan mengembalikan orang-orang yang jauh daripada Islam kepada Islam semula. Amat mengagumkan dan membuatkan saya terasa amat kerdil dan tiada nilai.

Semoga roh beliau ditempatkan dalam golongan syuhada sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.


Gambar diambil ketika jenazah tiba di Masjid Sri Petaling.  

Gambar kenangan Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi.

*****
Pada 4 Mei 2010, tarikh yang sama dengan kejadian di atas, aku ada post entri bertajuk AL-FATIHAH lagi. Seorang sahabat yang dimaksudkan dalam entri tu, saudara Huzaifah ni la. Sikit sangat yang aku tahu masa tu. Dalam pertengahan tahun lepas baru aku terbaca kisah ni. Itu pun dapat melalui email. Bila baca, agak terkejut bila nama allahyarham terdapat dalam kisah ni. Aku ingat lagi nama tu sebab di awal tingkatan 4 aku pernah sekelas dengan dia dan 2 tahun di sekolah yang sama.

Baru-baru ni, aku balik kampung. Seorang membe kampung pun ada keluar menyertai jemaah tabligh. Entah macam mana, tiba-tiba aku cuba ceritakan kisah ni kepada membe aku. Rupa-rupanya, dia tahu lagi banyak daripada aku.

Boleh juga melawat ke blog ayah allahyarham, Memburu Cahaya Ilahi. Mungkin dibuat selepas kehilangan anaknya ni sebab banyak gambar kenangan allahyarham semasa kecil. Banyak juga info berilmiah dalam tu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP