Perkampungan Nelayan Padat Di Pulau Kecil Migingo‏

>> 15 May 2014

Pulau Migingo hanya sebuah pulau kecil. Luasnya 2000 meter persegi, tidak sampai setengah ekar atau separuh saiz padang bola sepak sahaja. Ia terletak di Tasik Victoria, tasik terbesar di Afrika, juga tasik tropika terbesar di dunia. Walaupun saiznya yang kecil, pulau ini merupakan rumah bagi 131 orang penduduk (mengikut bancian 2009) yang tinggal dalam pondok sempit diperbuat daripada kepingan zink dan kayu. Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai nelayan dan peniaga ikan. Di sebalik persekitaran yang padat itu, terdapat sebuah farmasi, sebuah salun kecantikan, lima buah bar selain turut menempatkan beberapa buah hotel dan pusat pelacuran.

perkampungan nelayan
Pulau Migingo
Dua orang nelayan Kenya, Dalmas Tembo dan George Kibebe ialah orang yang terawal tiba di Pulau Migingo, dipercayai telah menetap di sini sejak 1991. Pada ketika itu, pulau ini hanya ditumbuhi lalang selain menjadi persinggahan burung dan habitat ular. Mereka kemudiannya disertai oleh 60 orang ahli geng penangkap ikan yang lain setelah mendapat tahu kawasan tersebut kaya dengan "Nile perch" (sejenis spesies ikan). Kesannya, nelayan lain dari Kenya, Uganda dan Tanzania turut datang ke pulau ini menjadikannya sebagai pusat komersial yang berkembang maju.

perkampungan nelayan

Koordinat: 0°52′58″S 33°56′17″E

perkampungan nelayan

perkampungan nelayan
Pulau Migingo merupakan lubuk pendapatan terutamanya kepada nelayan dengan lebih daripada 100 buah bot mendaratkan hasil tangkapan mereka setiap pagi untuk ditimbang dan dijual kepada pembeli/pemborong.

perkampungan nelayan
Kewujudan banyak Nile Perch di perairan sekitar Pulau Migingo menjurus kepada perebutan wilayah antara dua negara – Uganda dan Kenya. Secara teknikalnya, ia berada dalam sempadan antarabangsa Kenya sepertimana terkandung dalam peta dan dokumen-dokumen rasmi.

Selain itu, kemewahan yang dinikmati oleh para nelayan di sini dihidu oleh lanun-lanun. Mereka datang ke Pulau Migingo dan menyamun hasil tangkapan, wang dan enjin bot para nelayan menyebabkan pihak berkuasa (Uganda @ Kenya) terpaksa dipanggil untuk bantuan perlindungan. Uganda menjadi pihak pertama yang memberikan bantuan dengan menghantar pasukan polis maritim.

Sejurus tiba, wakil Uganda itu menaikkan bendera negara mereka seterusnya perlahan-lahan mengeksploitasi para penduduk yang tinggal di pulau ini. Beberapa peraturan baru diperkenalkan manakala bot dan pukat milik nelayan Kenya kerap dirampas oleh pasukan beruniform Uganda atas dakwaan menangkap ikan di perairan mereka. Bagaimanapun, pertikaian ke atas pemilikan Pulau Migingo masih belum diselesaikan.

perkampungan nelayan
Okunoshima ialah sebuah pulau yang padat dengan arnab manakala Pulau Migingo padat dengan rumah nelayan. Apa yang menarik, terdapat sebuah pulau yang lebih besar hanya 200 meter di timur pulau ini dan ianya masih lapang untuk diduduki. Tapi, kenapa mereka nak sangat tinggal di atas pulau yang sempit ini?

perkampungan nelayan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP