Amalan Potong Jari Apabila Berlaku Kematian
>> 20 Disember 2013
Siapa tidak sedih bila berlaku kematian ke atas salah seorang ahli keluarga yang disayangi. Dianggap normal jika kita menangis atau mengeluarkan air mata terkenangkan jenazah ketika hayatnya. Hidup perlu diteruskan dan kematian dijadikan peringatan supaya kita menjadi insan yang lebih berguna di atas dunia yang sementara ini.
Berbeza dengan apa yang diamalkan oleh suku kaum Dani di Wamena, Papua Barat, Indonesia. Satu tradisi unik akan dijalankan apabila salah seorang ahli keluarga mereka meninggal dunia. Mereka akan melumuri tubuh dengan lumpur dan yang paling sadis, upacara pemotongan jari tangan.
Tradisi ini hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh para Yakuza di Jepun jika mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kumpulan atau gagal dalam menjalankan misi. Sebagai ungkapan penyesalan, ahli Yakuza wajib memotong salah satu jari mereka. Bagi suku kaum Dani, pemotongan jari dilakukan apabila anggota keluarga terdekat seperti suami, isteri, ayah, ibu, anak, kakak, atau adik meninggal dunia.
Pemotongan jari melambangkan kepedihan dan kesakitan kehilangan anggota keluarga yang dicintai. Umumnya, ia akan dilakukan terhadap anggota keluarga wanita, namun tidak menutup kemungkinan pemotongan jari juga akan dilakukan terhadap anggota keluarga lelaki. Upacara ini juga boleh diertikan sebagai usaha untuk mengelakkan kematian terhadap ahli keluarga mereka daripada berulang.
Pemotongan jari dilakukan dengan pelbagai cara. Ada yang memotong jari dengan menggunakan alat tajam seperti pisau, parang, atau kapak. Cara lainnya adalah dengan mengikat jari dengan seutas tali selama tempoh masa tertentu sehingga jari yang terikat mati dan kemudiannya dipotong.
Kini, budaya 'potong jari' sudah ditinggalkan. Sukar untuk menjumpai orang yang masih melakukannya di zaman sekarang. Hal ini disebabkan oleh pengaruh agama yang telah masuk hingga ke pelosok kepulauan Papua.
Pautan: VIVAforum & Ripley's Believe It or Not!
Bukan setakat potong jari, ada juga amalan seterika payudara!
0 komen:
Catat Ulasan