30 Kematian Pemain Bola Sepak Di Atas Padang (Part 3)

>> 14 April 2012


Ini ialah siri terakhir 30 kematian pemain bola sepak di atas padang. Seperti siri sebelum ini, beberapa kisah kematian pemain turut disertakan dengan video. Sebuah kisah pemain dari Malaysia turut disertakan dalam senarai 10 pemain terakhir ini. Ikuti kisahnya di bawah. 

21. Cristiano Júnior (5 Disember 2004)

Cristiano Sebastião de Lima Junior, 24, ialah penyerang untuk Dempo Sports Club, Goa. Semasa menjaringkan gol keduanya pada minit ke-78 dalam perlawanan akhir Federation Cup (India), dia berlanggar dengan penjaga gol Mohun Bagan, Paul Subrata. Selepas kembali bangun, dia rebah. Percubaan untuk menyedarkan beliau tidak berjaya. Permainan bersambung selepas Junior dibawa keluar dari padang dan beliau meninggal dunia di hospital.

22. Mohamed Abdelwahab (31 Ogos 2006)

Mohamed Abdelwahab, 23, ialah pemain pertahanan kiri Mesir. Beliau seorang watak penting dalam skuad Mesir yang memenangi Piala Negara-negara Afrika 2006. Beliau rebah semasa sesi latihan pagi kelabnya, Al-Ahly pada 31 Ogos 2006. Walaupun telah dikejarkan ke hospital, doktor gagal untuk membantunya dan beliau meninggal dunia akibat masalah jantung. Nombor 3 miliknya diumumkan bersara oleh kelab.

23. Antonio Puerta (28 Ogos 2007)

Antonio José Puerta Pérez, 22, ialah pemain bola sepak Sepanyol yang bermain sepenuh kariernya untuk Sevilla. Pada 25 Ogos 2007, Puerta pengsan dan tidak sedarkan diri dalam kawasan penalti disebabkan kegagalan jantung semasa perlawanan pertama Sevilla untuk musim 2007-08 di laman sendiri, Sánchez Pizjuán menentang Getafe. Beliau kembali sedar dan telah digantikan, malah berjalan sendiri ke bilik persalinan sejurus dikeluarkan. Namun, beliau kembali pengsan sekali lagi dan dibawa ke hospital. Puerta meninggal dunia pada 2:30 petang 28 Ogos 2007. Sebagai tanda hormat, para pemain Sevilla dan musuh setempat, Real Betis menghadiri hari pengebumian beliau.

Video Antonio Puerta

24. Phil O'Donnell (29 Disember 2007)

Phillip "Phil" O'Donnell, 35, ialah seorang pemain bola sepak Scotland yang bermain untuk Motherwell, Celtic dan Sheffield Wednesday. Pada 29 Disember 2007, O'Donnell rebah semasa perlawanan menentang Dundee United. Beliau telah dirawat di dalam kawasan padang selama kira-kira 5 minit oleh doktor kelab Motherwell dan Dundee United sebelum dibawa oleh ambulans ke hospital. Walau bagaimanapun, beliau telah disahkan mati tidak lama kemudian disebabkan kegagalan jantung.

Video Phil O'Donnell

25. Guy Tchingoma (9 Februari 2008)

Guy Tchingoma Kaos, 22, ialah seorang pemain bola sepak kelahiran Congo tetapi bermain untuk Gabon di peringkat antarabangsa. Bermula tahun 2007, dia bermain di bahagian tengah untuk FC 105 Libreville. Pada 9 Februari 2008, beliau rebah selepas berasak dengan pemain lawan dalam perlawanan antara kelabnya dan US Mbiliandzami di Stadium Mondedang de Sibang. Beliau kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ditambah dengan ketiadaan pasukan perubatan semasa perlawanan. Aku tak jumpa gambar beliau.

26. Jumadi Abdi (15 Mac 2009)

Jumadi Abdi, 26, merupakan pemain bola sepak Indonesia yang bermain di posisi tengah untuk PKT Bontang (kini Bontang FC). Sebelum bermain untuk PKT Bontang, beliau bermain untuk Persiba Balikpapan dan Persikota Tangerang. Pada 15 Mac 2009, Abdi meninggal dunia di Rumah Sakit Pupuk Kaltim selepas menjalani rawatan intensif selama lapan hari akibat gegaran dialami beliau dalam perlawanan 7 Mac menentang Persela Lamongan. Abdi meninggal dunia akibat jangkitan pada organ.

27. Endurance Idahor (6 Mach 2010)

Endurance Idahor, 25, ialah seorang pemain bola sepak Nigeria yang bermain untuk kelab Sudan, Al-Merreikh. Beliau rebah semasa perlawanan menentang Alamal Atbara dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia mengalami serangan jantung.

Video Endurance Idahor

28. Naoki Matsuda (4 Ogos 2011)

Naoki Matsuda ialah seorang pemain bola sepak Jepun yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah. Pada 2 Ogos 2011, beliau rebah semasa sesi latihan bersama kelabnya, Matsumoto Yamaga disebabkan kegagalan jantung selepas 15 minit memanaskan badan. Dua hari kemudian, beliau meninggal dunia pada usia 34 tahun.

29. Bobsam Elejiko (13 November 2011)

Bobsam 'Bob' Elejiko, 30, ialah seorang pemain bola sepak Nigeria yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah. Elejiko rebah semasa perlawanan pasukannya, K. Merksem S.C. menentang F.C. Kaart pada 13 November 2011. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, Elejiko telah disahkan mati dan perlawanan itu ditangguhkan. Beliau dilaporkan mati akibat saluran aorta yang pecah.

30. Afiq Hamizan (April 2012)

Untuk pemain bola sepak terakhir, aku sebenarnya nak masukkan kisah Allahyarham Mokhtar Dahari sebelum terbaca kisah adik ini di myMetro. Kisahnya lagi relevan dengan tajuk untuk entri ini. Difahamkan, Afiq Hamizan Abdul Hamid yang berusia 15 tahun meninggal dunia semasa mewakili pasukan sekolahnya dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL) yang diadakan di sebuah sekolah menengah agama.

Mangsa yang bermain sebagai penjaga gol mewakili sekolahnya cedera di kepala selepas terkena sepakan pemain pasukan lawan. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih untuk rawatan oleh pihak sekolah. Bagaimanapun, keadaannya menjadi parah sebelum dihantar ke Hospital Kajang. Doktor mengesahkan mangsa perlu menjalani pembedahan kepala berikutan darah beku selain keadaannya yang sudah kritikal, dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula namun gagal diselamatkan. - sambung baca di myMetro

Sebelum tekan pangkah, tengok dulu satu lagi video menarik di bawah. Kejadian dikatakan berlaku di Arab Saudi. Namun, maklumat mangsa dalam video ini tidak dikenal pasti. Penat sudah untuk mencari. haha...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP