30 Kematian Pemain Bola Sepak Di Atas Padang (Part 1)

>> 31 Mac 2012

Insiden yang menimpa Fabrice Muamba pada pertengahan bulan Mac lepas mengingatkan banyak pihak kepada kematian pemain-pemain bola sepak sebelum ini. Dalam kejadian tersebut, Muamba tiba-tiba rebah di tengah padang dalam perlawanan suku akhir piala FA menentang Tottenham. Kini, keadaannya semakin beransur pulih dan kalau tak silap, masih di bawah pemantauan perubatan.


Disebabkan insiden itu juga, aku berminat untuk berkongsi senarai 30 pemain bola sepak sepanjang zaman yang meninggal dunia disebabkan bola sepak. Kematian mereka kebanyakannya disebabkan serangan dan kegagalan jantung di samping beberapa kes disebabkan kecederaan yang dialami dan faktor alam sekitar seperti petir. 

1. David "Soldier" Wilson (27 Oktober 1906)

Semasa bermain untuk Leeds City menentang Burnley pada 27 Oktober 1906, Wilson, 23, meninggalkan padang pada separuh babak kedua selepas mengalami sakit dada. Ketika itu, dua rakan sepasukannya turut mengalami kecederaan. Beliau tetap kembali bermain walaupun nasihat perubatan mengatakan sebaliknya. Bagaimanapun, beliau tidak dapat menghabiskan permainan dan telah meninggalkan padang selepas pemain Burnley, Arthur Bell menjaringkan gol kemenangan pelawat pada lewat permainan. Wilson rebah dan terpaksa dibawa ke bilik persalinan Leeds di mana beliau meninggal dunia walaupun pelbagai usaha menyelamat dilakukan. Bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian Wilson disebabkan serangan jantung.

2. Tommy Blackstock
(8 April 1907)
Thomas Blackstock, 25, ialah seorang pemain bola sepak yang dilahirkan di Kirkcaldy, Scotland. Posisinya adalah sebagai seorang pertahanan. Beliau pernah bermain untuk Dunniker Rangers, Blue Bell, Raith Rovers, Leith Athletic dan Cowdenbeath sebelum menyertai Manchester United. Pada 8 April 1907, beliau meninggal dunia di atas padang semasa bermain menentang St Helens. Selepas menanduk bola, dia rebah dan kemudiannya mati.

3. Bob Benson (19 Februari 1916)

Robert William Benson, 33, merupakan pemain pertahanan (full back) yang banyak menghabiskan kebanyakan kerjaya bola sepak bersama Sheffield United sebelum berhijrah ke Arsenal. Beliau juga pernah bermain untuk Newcastle United dan Southampton.

Akibat daripada peperangan, bola sepak profesional telah digantung pada tahun 1915. Benson berhenti bermain untuk bekerja di Royal Arsenal, Woolwich, iaitu sebuah kilang peluru. Beliau sentiasa berhubung dengan kelab lamanya (Arsenal) dan pada 19 Februari 1916, beliau menghadiri perlawanan London Combination di Highbury menentang Reading. Disebabkan bekas rakan sepasukannya, Joe Shaw tidak dapat bermain, Benson secara sukarela menggantikannya. Setelah tidak bermain secara aktif selama hampir setahun, beliau rebah di atas padang pada separuh babak kedua dan terpaksa dikeluarkan. Tidak lama kemudian, beliau meninggal dunia di bilik persalinan. Benson  disahkan meninggal dunia akibat saluran darah yang pecah dan mayatnya dikebumikan dengan dipakaikan baju Arsenal.

4. David Arellano -(3 Mei 1927)

Pada 3 Mei 1927 di Valladolid, Sepanyol, semasa siri jelajah bersama Colo Colo, David Arellano, 24, mengalami peritonitis selepas bertembung dengan seorang pemain lawan. Beliau dibawa ke klinik berdekatan dan akhirnya meninggal dunia. Untuk memperingati beliau, jersi kelab Colo Colo ditambah garis hitam di atas lambang pasukan dan Estadio Monumental David Arellano dinamakan untuk nama stadium pasukan ini.

5. John Thomson (5 September 1931)

Pada 5 September 1931, Celtic menentang musuh tradisi mereka, Rangers di Ibrox Park, Glasgow di hadapan 80,000 penonton. Di awal babak kedua, Thomson, 22,  iaitu penjaga gol Celtic bersaing mendapatkan bola dengan pemain Rangers, Sam English. Mereka bertembung lalu menyebabkan kepala Thomson termakan lutut Sam English. Beliau dibawa ke Victoria Infirmary untuk rawatan lanjut. Pada pukul 5 petang, beliau mengalami gangguan pada bahagian otaknya dan pembedahan kecemasan telah dijalankan. Malangnya, pembedahan itu tidak berjaya dan beliau telah disahkan meninggal dunia pada 9:25 malam.

6. Jimmy Thorpe (5 Februari 1936)

James Horatio "Jimmy" Thorpe, 22, bermain 139 perlawanan sebagai penjaga gol untuk Sunderland. Beliau mempunyai masa depan yang cerah kerana menjadi pilihan utama untuk menjaga gawang di usia muda. Kehidupan dan kerjaya beliau berhenti disebabkan insiden 1 Februari 1936 apabila beliau ditendang di kepala dan dada selepas menangkap bola dalam perlawanan menentang Chelsea di Roker Park. Beliau bertahan untuk bermain sehingga perlawanan tamat tetapi meninggal dunia di hospital 4 hari kemudiannya kerana diabetes dan kegagalan jantung.

Insiden tragis ini membawa kepada perubahan dalam peraturan, di mana pemain tidak lagi dibenarkan untuk menaikkan kaki mereka apabila penjaga gol telah mempunyai kawalan bola dalam tangan. Penjaga gol di seluruh dunia semestinya terhutang budi kepada beliau.

7. Nikola Mantov (1 Julai 1973)

Pada tahun 1973, semasa perlawanan bola sepak antara FK Osogovo dan FK FAS 11 Oktomvri, Nikola Mantov, 23, salah seorang pemain terbaik FK Osogovo ketika itu,  rebah di atas padang lalu meninggal dunia. Sebagai penghormatan, gelanggang FK Osogovo dinamakan Nikola Mantov Stadium. Stadium yang mempunyai kapasiti kira-kira 5000 penonton ini adalah satu-satunya stadium bola sepak di Republik Macedonia yang dinamakan sempena nama pemain bola sepak. FK Osogovo juga telah menamatkan jersi bernombor 7 sebagai penghormatan kepada Nikola Mantov.

8. Pavão (16 Disember 1973)

Fernando Pascoal das Neves atau dikenali sebagai Pavão ialah seorang pemain tengah untuk FC Porto dalam Liga Portugis. Pada 16 Disember 1973, Pavão rebah selepas membuat hantaran pada minit ke-13 perlawanan liga menentang Setúbal di Estadio das Antas. Beliau dikatakan telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 26 tahun.

9. Renato Curi (30 Oktober 1977)

Renato Curi, 24, membantu Perugia mengukir sejarah untuk menduduki tempat ke-6 dalam kempen Serie A 1976-77. Khabar angin mula tersebar mengatakan beliau berkemungkinan akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Itali. Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku kerana Renato Curi meninggal dunia pada 30 Oktober 1977 semasa perlawanan di tempat sendiri menentang Juventus, lima minit selepas separuh babak kedua bermula akibat serangan jantung. Stadium di mana berakhirnya karier Curi kemudiannya dinamakan sempena nama beliau selain sebuah pasukan Serie D yang menamakan pasukan mereka Renato Curi Angolana.

10. Erik Jongbloed (23 September 1984)

Anak kepada Jan Jongbloed iaitu penjaga gol pasukan kebangsaan Belanda dalam Piala Dunia 1974 dan 1978. Antara sebilangan kecil pemain yang meninggal dunia disebabkan panahan petir sewaktu bermain dalam satu perlawanan pertunjukan.

Nak termuntah? Tak apa, aku berhenti setakat 10 orang pemain ini dulu. Akan bersambung dalam siri seterusnya pula, termasuk kematian Marc-Vivien Foe, Miklos Feher dan Antonio Puerta.

Bersambung dalam:

0 komen:

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP