Masalah Badan Kerap Berpeluh

>> 17 January 2014

Rasa malu boleh wujud bila mata orang tertumpu pada bahagian badan kita yang berpeluh terutamanya ketiak. Lebih teruk, kebanyakan mereka akan fikir kononnya kita tidak bersih. Lainlah kalau ianya disebabkan aktiviti fizikal seperti berlari atau berjoging kerana semua orang pun akan alami perkara yang sama. Masalahnya bila tiada aktiviti fizikal berat yang dilakukan, peluh tetap deras mengalir. Jadi, bagaimana untuk mengatasi masalah badan kerap berpeluh?

ketiak berpeluh

Sekilas fakta berkenaan peluh, ia berasal daripada darah dan mengandungi air serta natrium klorida. Air peluh ialah salah satu bahan kumuhan yang dikeluarkan oleh tubuh. Ia berfungsi sebagai medium yang menyejukkan tubuh, membantu dalam pengawalan suhu tubuh badan dan mengimbangi air dan letrolit tubuh.

Peluh berlebihan adalah satu keadaan yang dipanggil 'hiperhidrosis'. Ia disebabkan oleh kelenjar peluh yang terlalu aktif. Biasanya masalah ini memberi kesan kepada kawasan tertentu seperti ketiak, tapak tangan, muka dan sebagainya. Ada juga yang berpeluh satu badan.

Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, masalah peluh mungkin bertambah buruk. Lemak berlebihan menjadikan badan lebih sukar menyingkirkan haba berlebihan kerana lemak bertindak sebagai penebat. Kebimbangan akibat berpeluh juga boleh meningkatkan pengeluaran peluh. Senaman yang teratur boleh membantu kelenjar peluh anda menghasilkan peluh yang kurang.

Antara tindakan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah badan kerap berpeluh ialah:
  • Minum lebih banyak air. Ia memastikan suhu badan rendah dan mengurangkan peluh. Suhu badan akan meningkat apabila kemasukan air rendah.
  • Pakai pakaian longgar yang diperbuat daripada polyester dan bukannya kapas. Kapas membuat badan kering dan tidak membenarkan udara melaluinya.
  • Pakai pakaian cerah kerana ia menyerap kurang haba berbanding pakaian gelap.
  • Guna produk antiperspirant atau deodorant. Sesetengah produk berfungsi dengan baik dalam mengawal jumlah peluh dan membantu menutup aroma peluh.
  • Tingkatkan pengambilan sayuran hijau yang kebanyakannya membantu mengurangkan keinginan badan untuk berpeluh.
  • Elak minuman berkafein seperti kola, 'fat burner' yang kebanyakan tinggi kafein dan sebagainya.
  • Elak minuman beralkohol.
  • Elak makanan yang meningkatkan keperluan badan untuk berpeluh seperti kari, makanan pedas, bawang, bawang putih, daging merah dan mana-mana makanan yang mempunyai bau yang kuat.
  • Elak berada di tempat-tempat yang mempunyai aliran udara yang sedikit atau tiada langsung.

Jika peluh itu berbau, ia bukanlah disebabkan mana-mana aspek sains sebaliknya ia bergantung kepada individu itu sendiri dalam menjaga kebersihan diri ataupun bentuk fizikalnya.

Selain menyejukkan badan, mandi membantu membersihkan dan mengurangkan bau yang dikaitkan dengan peluh. Gunakan sabun antibakteria semasa mencuci badan untuk mengurangkan kuman pada kulit. Bakteria adalah penyebab bau badan.

sabun mandi lifebuoy

Terdapat beberapa petua yang mungkin membantu sesetengah orang seperti menggunakan soda dan air. Sapukan 'baking soda' dan air ke tempat berpeluh seperti ketiak dan biarkan kering. Buat beberapa kali dalam sehari untuk beberapa hari. Ia membantu kebanyakan orang mengurangkan peluh.

Ada kes yang memerlukan rawatan yang dipanggil 'iontoforesis'. Rawatan ini membabitkan penggunaan arus elektrik ke kawasan yang terjejas. Ia mungkin berkesan dan mungkin juga tidak berkesan.

Dalam kes yang lebih teruk, pembedahan mungkin boleh dilakukan. Pembedahan boleh dianggap langkah terakhir. Pembedahan mungkin mengeluarkan seluruh kelenjar peluh atau menyekat saraf yang menghantar isyarat dari sistem saraf kepada kelenjar peluh.

Apa itu kelenjar peluh? Kelenjar peluh adalah kelenjar kecil yang amat penting. Bilangan kelenjar ini banyak terdapat di bahagian tapak tangan, tapak kaki, dahi dan ketiak. Kelenjar ini terbina daripada tiub yang berlingkar. Dari kelenjar ini, salurnya akan naik ke atas dan menembusi permukaan kulit dan dikenali sebagai liang peluh atau liang roma.

Pautan: myMetro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP